Thursday, January 29, 2015

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ


MEROTAN ANAK : MENGAPA JADI ISU?

Ekoran kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim mengenai hukuman rotan akan dikategorikan sebagai jenayah apabila satu undang-undang baharu digubal bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Laporan itu mencetuskan bantahan banyak pihak, terutama ibu bapa, guru dan pakar agama yang menolak larangan merotan kerana tindakan itu diperlukan untuk mendidik anak-anak dengan berkesan, serta dibenarkan dalam Islam.


Menurut Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula di dalam blognya ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. 
Sementara itu Ketua Wanita ISMA, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh berkata, penggubalan akta baharu itu perlu diperhalusi sepenuhnya kepada bentuk dan kadar rotan yang dikenakan jika disabitkan kesalahan.“Ini kerana Islam tidak menolak rotan jika ianya tidak mencederakan anak." kata beliau.
Pandangan daripada Pakar Perunding Psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya (UM) Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, yang antara lain percaya bahawa budaya merotan akan memberi kesan psikologi dalam tempoh jangka panjang.
Bagi tujuan mendisiplinkan kanak-kanak, hukuman rotan yang dikenakan berjaya menimbulkan rasa kegerunan di kalangan kanak-kanak daripada melakukan kesalahan yang sama namun ia turut memberi kesan negatif.
Beliau berkata kanak-kanak yang kerap dirotan oleh ibu bapa mereka akan mengalami perasaan takut dan trauma apabila berdepan dengan ibu bapa mereka kerana ia dianggap bersifat hukuman dan bukan pengajaran.

No comments:

Post a Comment