Tuesday, May 8, 2018

SEJARAH ASKAR TIMBALAN SETIA NEGERI JOHOR (JMF)

Askar Timbalan Setia atau rasminya Askar Timbalan Setia Negeri Johor ialah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Temenggung Johor ke-2), Sultan bagi jajahan takluk Johor Darul Ta'zim. Sultan Ibrahim Al-Masyhur ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Kerajaan Great Britain; Ratu Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor.

Johor ialah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini.
Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada tahun 1885 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukan artileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916.

No comments:

Post a Comment